Monday, January 23, 2012

Syukur


Manusia, tak pernah puas, tak pernah cukup. Mungkin sukar untuk berterima kasih, mungkin lupa untuk bersyukur. Hakikatnya, kehidupan kita sudah DIA aturkan seadilnya. Tinggal keimanan yang ada pada kita yang membawa kepada rasa bersyukur dengan langkah perjalanan kehidupan dan keimanan itu jugalah yang memandu arah 'permusafiran' kita di dunia yang sementara ini. Semoga keimanan yang tidak berkurang bahkan semakin berkembang itu dapat membawa kita menuju cinta yang hakiki menggapai damai di akhirat nanti, insya Allah.


Terhantarnya saya ke tanah Sekinchan dengan harapan memenuhi kuota guru Bahasa Inggeris yang kurang di bumi Sabak. Berat hati untuk menerima kontrak 'Guru Interim' yang baru diperkenalkan dan perginya saya hanya separuh hati. Keimanan saya teruji bila mana syukur jauh dari hati.


Saya memandang perkara ini sebagai satu bebanan. Beban buat saya kerana tiada tempat tinggal dan tiada pengangkutan. Bertambah rasa terbeban dengan kegagalan saya untuk memandu biar pun sudah punyai lesen bertahun dulu. Silap saya.


Mana hilangnya rasa syukur itu? Saya memang manusia biasa. Keimanan saya masih lagi pada tahap biasa-biasa. Rupanya. Muhasabah itu memang perlu setiap hari supaya kita lebih sedar diri dan supaya tangga keimanan kita tidak retak di sana sini.


Seminggu di Sekinchan, mengajar saya erti kehidupan tanpa sesiapa di sisi. Selama ini hidup saya bertemankan keluarga atau pun kawan-kawan. Mujur ada juga kenalan dan saudara kawan yang menjadi peneman biar pun saya masih lagi terasa sendiri. Seminggu di Sekinchan, mendidik rasa syukur yang bersembunyi dalam lipatan hati.


Saya akhirnya sedar, saya masih lagi di 'tanah tumpahnya darahku', Selangor Bersih Suci Murni dan Berkualiti 2080. Ya. Slogan itu saya sendiri yang timbulkan, tiada kaitan dengan yang masih hidup atau pun yang sudah meninggal dunia. Maaf andai mengundang rasa kurang senang atau pun terdetik rasa di hati. Bukan niat saya.


Berbalik kepada kisah syukur, saya wajib bersyukur kerana sesukar mana kondisi saya, pasti ada lagi yang berdepan dengan cabaran yang lebih sukar. Sekurang-kurangnya, saya ditempatkan dalam kawasan yang masih lagi saya faham tutur katanya. Saya ditempatkan dalam kalangan mereka yang ringan tulang biar pun ada segelintir yang hanya memandang. Itu lumrah.


Saya wajib bersyukur kerana ada hadiahnya dengan rasa syukur yang terdidik dalam jiwa kita. Segala sesuatu yang terjadi itu bukanlah sia-sia belaka. Pasti ada sesuatu yang tersembunyi untuk kita cari dan kenal pasti. Saya berdoa agar pulangnya saya hujung minggu nanti dengan rasa senang di hati. Agar saya dapat mendidik adik-adik saya di tanah Sekinchan seikhlas hati. Moga saya mampu menyelitkan sedikit tarbiyah untuk sama berkongsi dengan adik-adik itu nanti. Insya Allah.


Rasa syukur itu kian berkembang. Saya semakin merasai nikmatnya. Berulang-alik ke HKL sedikit masa dahulu memang mengajar saya untuk terus beryukur. Dan kini, kembali berkunjung ke hospital yang sama, melawat saudara yang sama,  membuatkan saya cukup rasa berterima kasih atas nikmat kesihatan yang diberikan Allah pada saya. Jika sebelum ini keluar masuk wad ortopedik, kini saya kerap pula berkunjung ke wad ginekologi.


Saya bersyukur. Hamdan Lillah. Syukran Lillah. Kesihatan itu bukan boleh dijual beli. Sama seperti keimanan. Kita yang perlu menjaga dan membajai kesihatan serta keimanan dengan baris-baris kalam-NYA. Yakinlah, setiap penyakit itu ada ubatnya kecuali mati. Yakinlah dengan kuasa-NYA, yakinlah dengan aturan-NYA. DIA Maha Mengetahui segala sesuatu itu. Syukurlah dengan apa yang dikurniakan kerana rasa syukur itu antara baja keimanan.


Percayalah, ujian itu tanda sayang dan perhatian DIA pada kita. Mahukah kita hidup bersenang lenang tanpa sebarang peringatan?