Sahabat saya majid a.k.a siti suhaili telah menulis ini berkaitan adab. Pagi jumaat yang mulia ini, saya mahu berkongsi pula perihal adab bertandang ke rumah orang. Sudah lama saya memikirkan perkara ini dan pagi tadi adalah kemuncaknya.
"That's it. Enough is enough. You people please la revise your knowledge and renew your sense of responsibility."
Ini yang saya rasa pagi tadi, tapi tak terluah kerana masih ada rasa hormat dekat orang yang lebih tua. Alkisahnya...
Rumah keluarga saya letaknya antara barisan di hadapan surau. Rumah teres dua tingkat, berpintu kayu di sebelah kanan dan bertingkap tiga pintu sederhana lebar dan panjang di bahagian kiri. Tingkap rumah kami bukanlah tinted segelap-gelapnya sehingga boleh terpantul imej sendiri umpama cermin. **Sila fahamkan kenyataan itu..
Abah pula antara ajk dekat surau. Alang-alang rumah di hadapan surau maka bersusun jugak aktiviti abah menguruskan hal-hal berkaitan surau. Makanya keraplah orang-orang datang ke rumah untuk berurusan dengan abah.
Mereka yang datang penuh beradab sopan amatlah dihargai dan kedatangannya akan datang amatlah dinanti. Bukankah kedatangan tetamu itu membawa rahmat? Tapi, masalah besar timbul bila ada yang main terjah rumah orang lain ikut suka hati umpama masuk rumah sendiri cukup dengan hanya salam sekali.
Tahu tak kalian,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ
حَتَّى تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَى أَهْلِهَا
ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
حَتَّى تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَى أَهْلِهَا
ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
[an-nur : 27]
Terjemahannya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu ingat.
Imam Ibnu Katsir telah mentafsirkan ayat ini antara isinya,
"Janganlah mereka masuk ke rumah-rumah yang bukan milik mereka hingga mereka meminta izin dan mengucapkan salam kepada pemilik rumah tersebut. Dan hendaknya seseorang meminta izin sebanyak tiga kali. Kalau diizinkan hendakla ia masuk, dan jika tidak hendaklah ia pulang dan meninggalkan rumah tersebut."
Tiga kali tau kena bagi salam. Diulangi, tiga kali dan itulah yang maksimum. Tak boleh lebih. Ada hadis shahih berkaitan hal ni. Kisahnya;
Abu Musa Al-Asy'ari r.a. meminta izin untuk masuk ke rumah Umar Al-Khattab r.a. sebanyak tiga kali, namun tiada jawapan daripada pemilik rumah, maka Abu Musa Al-Asy'ari pulang meninggalkan rumah tersebut..
Nampak? Betapa para sahabat begitu menjaga adab itu.
Dan kita sekarang? Macam mana halnya? Dah buka pintu pagar masuk ketuk pintu baru bagi salam? Salam diberi sambil mata menjeling melalui tingkap rumah? Mana larinya adab kita seorang muslim?
Mak kata, makin tinggi ilmu makin terlupa adab.. Ada benarnya saya terpaksa akui di sini berdasarkan kejadian yang berlaku minggu lalu di sini di rumah keluarga ini. Mungkin perumpamaan kerana nila setitik habis susu sebelanga ada benarnya. Namun, pepatah itu tidaklah seharusnya diguna pakai secara sambil lewa.
Tapi jelasnya saya nak tegaskan di sini, marilah kita sentiasa memperbaharui iman kita. Maksudnya di sini, sentiasa mengingati pelajaran-pelajaran yang lalu termasuklah ilmu berkaitan akhlak. Walaupun ia terkadang dianggap remeh, namun, besar natijahnya.
Percayalah.
Sebagai contoh, bagaimana sekiranya terlihat akan tetamu itu pada sesuatu yang tidak sepatutnya dia melihat? Ada kisahnya berdasarkan riwayat Imam At-Thabari, sebab turunnya ayat ke-27 surah An-Nur beserta sambungannya sehingga ayat ke-29. Begini...
Seorang wanita pernah mengadu kepada Rasulullah S.A.W. Katanya,
"Wahai Rasulullah, aku berada di dalam rumahku dengan memakai pakaian (keadaan) yang aku tidak suka seorang pun dari kalangan keluargaku melihatnya, baik bapaku mahu pun anakku. Dan ada seorang dari anggota keluargaku yang suka menonong masuk ke rumahku sedang aku dalam keadaan berpakaian seadanya (tidak menutup aurat)."
Dan kemudian turunlah ayat 27-29 dari surah An-Nur sebagai jawapan kepada masalah wanita itu..
Ini sambungan ayat ke 28-29 surah An-Nur saya kongsikan juga,
فَإِن لَّمْ تَجِدُوا فِيهَا أَحَدًا فَلَا تَدْخُلُوهَا حَتَّى يُؤْذَنَ لَكُمْ
وَإِن قِيلَ لَكُمُ ارْجِعُوا فَارْجِعُوا هُوَ أَزْكَى لَكُمْ
وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ
[an-nur : 28]
Terjemahannya : Jika kamu tidak mendapati seorang pun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu, "Kembalilah," maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
لَّيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ مَسْكُونَةٍ فِيهَا مَتَاعٌ لَّكُمْ
وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا تَكْتُمُونَ
[an-nur : 29]
Terjemahannya : Tidak ada dosa atasmu memasuki rumah yang tidak disediakan untuk didiami, yang di dalamnya ada keperluanmu, dan Allah mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.
Nampakkan? Bukan hanya kepada orang luar malah kepada ahli keluarga sendiri pentingnya beradab itu. Kami wanita di rumah ini tidaklah memakai skirt pendek mahu pun baby-t di rumah tetapi masih berpakaian yang hanya sesuai di dalam rumah dan untuk tontonan lelaki yang muhrim seperti abah dan adik beradik lelaki yang dua orang itu SAHAJA. Muhrim yang lain tidaklah selesa untuk kami memperlihatkan apa-apa biarpun batasan aurat dah ditetapkan.. **Sila fahamkan juga makna kenyataan ini.
Islam itu indah. Janganlah kita mencacatkan keindahan yang diciptakan Allah dengan kerenah kita sendiri. Adab ni luas skopnya. Cuba ingat balik dari tadika dulu belajar apa... Adab makan, adab minum, adab dengan haiwan, adab dengan makanan dan paling penting juga adab sesama manusia. Contohnya adab bertandang ke rumah orang;
1) Beri salam..
Kalau pendek, "Assalamualaikum.."
Panjang sikit, "Assalamualaikum warahmatullah,"
Panjang lagi sikit, "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,"
2) Minta izin..
Adik.. Abang.. Kakak.. Makcik.. Pakcik.. Tok.. Wan.. Haji.. Hajah.. Cikgu..
Saya, polan bin polan atau polanah binti polan, nak masuk boleh...
3) Salam diberi tiga kali dan minta izin. Diulangi, tiga kali.
Ulang balik step 1 & 2.
4) Bila isi rumah membalas,
Pulanglah kamu.. Suami saya tiada di rumah atau tiada orang lelaki di dalam rumah ini..
Maka, dipersilakan pulang ke pangkal jalan. Jangan memaksa dengan bertanya segala bagai persoalan yang mungkin menganggu isi rumah itu.
5) Mungkin boleh menggunakan teknologi yang canggih zaman sekarang.
Telefon dulu sebelum nak datang. Nak lagi canggih boleh buat appointment siap-siap.
Teringat masa praktikal... Ada kawan lelaki yang datang hendak menguruskan sesuatu dengan rakan serumah, mereka tidak terus berdiri di hadapan pintu tetapi berdirinya di sebelah kanan pintu dan memberi salam. Kemudiannya berurusan hanya di luar rumah, tidaklah menonong masuk setelah salam dijawab.
Jujur, waktu itu timbul rasa hormat kepada mereka yang tahu menjaga adab dan akhlak, tidak mengarahkan pandangan pada sesuatu yang tidak halal bagi mereka. Ada kisah riwayat Ahmad dan Abu Daud berkaitan ini juga...
Dari Abdullah Bin Busr, beliau berkata, "Apabila Rasulullah S.A.W. mendatangi kediaman sesuatu kaum, baginda tidak menghadap ke arah pintu dengan wajahnya, akan tetapi baginda memalingkan wajah ke arah kanan atau kiri dan berkata, Assalamualaikum,"
Disebutkan juga, kerana pada waktu itu kediaman bukanlah ada penghalang berpintu seperti kediaman masa kini. Namun perlu diingatkan, kediaman bertingkap bukan bermakna kamu boleh mengintai di sebalik tingkap itu.
Sungguh tidak beradab sopan begitu.
Saya menulis dari sudut pandang saya sebagai antara isi rumah yang kerap kali terganggu. Mungkin kerana kini saya berada di rumah 24/7, makanya terpaksalah saya berhadapan dengan permasalahan ini. Apatah lagi tempat favourite saya memang di ruang tamu.
Perlu diingatkan di sini... Ruang tamu bukan bererti tetamu boleh mengintai di situ ya.
Tetamu sekalian, marilah kita renew adab sopan dan ingat-ingat balik akhlak yang dah kita belajar sejak dari tadika dulu.. Peringatan ini buat diri saya sendiri mungkin ada kalanya terleka kerana terlalu teruja nak berziarah.
** Wallahu'alam.. Risau andai ada yang salah faham kenyataan-kenyataan saya.
Saya mula menulis pada pukul 9 ++ a.m. dan hanya sesudah zuhur baru dapat saya publish disebabkan masalah teknikal.. Mujur lepas.. (",)