Tuesday, October 4, 2011

Air Mata : Antara Nikmat dan Pembaziran..



Siapa suka menangis, sila senyum.. Saya tersenyum lebar seketika.
Siapa dah lama tak menangis, sila sengih.. Saya tersenyum simpul sesaat.








Air mata.. Antara nikmat yang Allah beri di sebalik nikmat mata dan penglihatan. Hamdan lillah syukran lillah. Air mata nikmat kerana di dalamnya terkandung khasiat. Bak kata Harun Yahya kurang lebihnya begini,

"Tears are the perfect eye drops.."


Tetapi di sini saya tidaklah berhasrat hendak bercerita khasiat air mata dari sudut cabang sains. Secara ringkas, khasiat air mata ini antaranya mencuci mata dan membersihkan mata... (",) Ringkasnya lagi, air mata bukanlah semata cairan yang keluar dari mata saat sedih atau gembira bahkan terkandung di dalamnya zat-zat yang diciptakan Allah dengan fungsinya tersendiri.. Wallahu'alam..


Air mata : Antara Nikmat dan Pembaziran..


Bila mana air mata itu keluar dalam keadaan kita mengingati Allah dan kekuasaan-NYA, mengingati mati, mengenangkan dosa dan kejahilan lepas..... ia adalah nikmat. Satu kepuasan bila dapat menangis disebabkan kekesalan ataupun kegembiraan atas sesuatu anugerah dan nikmat yang lain.


Pembaziran berlaku saat air mata dikeluarkan bukan pada tempatnya. Maksud saya di sini, menangis saat menonton telenovela atau sinetron mahu pun filem hindustan dan juga menangis pada kekasih manusia yang belum halal digauli. Rugi bukan air mata yang tumpah disebabkan itu? Tak sayang membazirkan zat yang diberi percuma oleh Allah?


Peringatan ini tentunya sekali buat diri saya juga tak terkecuali. Manusia, kita memang sering terlupa dan terleka. Makanya saling mengingati itu perlu.


Menangis meraung akan pemergian seseorang juga adalah satu pembaziran. Bukankah membazir itu amalan syaitan? Apabila perginya seorang anak adam dijemput menghadap Ilahi, ucapan yang sebaiknya adalah innalillahi wainna ilaihi raji'un dalam ketenangan bukannya disulami raungan. Begitu juga saat kita kehilangan barang yang disayangi dan sebagainya..


Bukanlah bermakna kita tidak boleh menangis dan bersedih langsung. Tetapi berpada-padalah, kerana sesungguhnya dalam keadaan kita lemah tak berdaya dengan kehilangan, waktu itulah syaitan tak lepas mainkan peranan. Na'uzubillahi min zalik.


Sesungguhnya setiap apa yang ada pada kita semua saat ini baik dari bentuk material mahu pun jasad, konkrit mahu pun abstrak, semuanya adalah pinjaman belaka. Kita hanyalah pemegang amanah. Tetapi adakah kita cukup amanah dengan pinjaman secara percuma ni? Contohnya kesihatan kita, adakah kita menjaga tubuh dengan tidak melakukan perkara yang boleh memudaratkan?


Sekali lagi peringatan buat diri saya sendiri. Terkadang leka menaip lupa terkena batang hidung sendiri. Kita sama-sama beringat ya.. InsyaAllah.


Nikmat air mata jangan kita sia-siakan. Sesungguhnya menangis kerana takutkan Allah adalah lebih baik bukan? Ada kisahnya pada zaman sahabat dalam sebuah riwayat..


Umar al-Khattab dalam mengimamkan solat subuh sering membaca surah Al-Kahfi, Thaha dan surah-surah lain yang sama panjangnya dengan surah yang disebutkan tadi. Pada saat itulah Umar r.a. sering menangis sehingga tangisannya terdengar ke saf belakang.


Pada suatu ketika dalam solat subuh yang lain, Umar r.a. membaca surah Yusuf. Ketika sampai pada ayat ke-86, terjemahannya :


Yaakub menjawab, "Sesungguhnya hanyalah pada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku, dan aku mengetahui dari Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya."


Umar r.a. menangis teresak-esak sehingga suaranya tidak kedengaran sehingga saf di belakang. Dalam solat tahajudnya juga Umar r.a. membaca ayat-ayat al-Quran sambil menangis. Perasaan takut seseorang kepada Allah, apabila disebut nama-NYA sahaja sudah terasa ke dasar hati.


Tamat kisah pada zaman sahabat, kembali pada zaman kita.. Berapa kali kita menangis dalam solat? Cukup fahamkah kita dengan maksud ayat dalam surah yang kita bacakan? Ingatkah kita pada terjemahan surah Al-Fatihah?


Ketenangan yang kita dapat selepas mengadu pada Allah adalah ketenangan yang tiada tandingan. Lega selega-leganya seakan terasa hilang sebeban perkara yang terbelenggu sebelum ini. Nah, inilah nikmatnya air mata yang tumpah saat itu. Sesungguhnya Allah maha Mengetahui dan DIA jugalah yang menjaga hati-hati kita. Makanya pada DIA lah selayaknya kita memohon.. Wallahu'alam.


Terdapat banyak hadis Nabi berkaitan air mata ini antaranya,


Rasulullah S.A.W. bersabda : "Wajah yang dibasahi air mata kerana takut pada Allah walaupun sedikit akan diselamatkan dari api neraka,"


Selain itu, ada riwayat menyebut, isteri Nabi S.A.W., Aisyah r.a. bertanya kepada baginda,


"Ya Rasulullah, adakah antara pengikut-pengikutmu yang akan masuk syurga tanpa hisab?


Baginda menjawab, "Iya. Dia adalah orang yang banyak menangis kerana menyesali dosa-dosa yang telah dia lakukan,"


Terakhir yang ingin saya kongsikan di sini, baginda Nabi S.A.W bersabda :


"Ada dua jenis titisan yang sangat disukai oleh Allah S.W.T, iaitu, titisan air mata kerana takut pada-NYA dan titisan darah kerana perjuangan di jalan-NYA."


Bukankah setiap anggota kita menjadi saksi di hari soal-jawab kelak? Air mata juga antara anggota kita.. Siapa tahu air mata bakal menjadi penyelamat?


Wallahu'alam.




Bagaimana dengan kita? Selama hidup di muka bumi ini, air mata kita tumpah untuk nikmat atau pembaziran?


Sentuh dada, usap hati, reflect iman.


Saling mengingati itu perlu.
Saling menyampaikan itu juga perlu.
Saling berkongsi itu pun perlu.


Wallahu'alam..

No comments:

Post a Comment