Tuesday, April 17, 2012

RESEPI : Roti Sardin


Hujung minggu pasti mahu dihabiskan bersama keluarga sama ada bersantai di rumah atau pun berjalan, melihat dan menikmati keindahan alam ciptaan Allah.. Betul tak? Atau pun yang muda-muda remaja ada yang keluar gossip-gossip dengan rakan sebaya..


Sambil-sambil gossip (yang berfaedah! sahaja - restriction di situ ya) mungkin boleh berkongsi resepi sama ada belajar dari buku atau berguru dengan ibu atau menuntut dari youtube. Apa-apa pun boleh asalkan kita mahu. Ada juga yang kreatif, improvise dari resipi yang asal pun menarik jugak.


Tapi masalahnya sekarang ni bukan hujung minggu la deyy.. Awak ni post entry yang kiv minggu lepas ke?? Ke bulan lepas ke tahun lepas?? Nak story hujung minggu post entry hujung minggu nanti la.<--- otak penulis bertingkah. ABAIKAN.


Tapi tak apalah kan. Untuk berkongsi, bila-bila pun boleh. Sharing is Caring.. Mari tengok gambar dulu. Resepi roti sardin. Mudah. Sesuai untuk adik-adik sekolah yang nak impress mak ayah dengan skill sepagi atau sepetang di dapur pada hujung minggu.


Roti Sardin cap Ayam

Hidangan : 12-15 keping roti


Bahan-bahan :

1) Sardin cap Ayam (tin kecil - 230gm)
2) Roti (berkeping-keping) 
3) 7 biji telur
4) 1 labu bawang besar - cincang molek
5) Garam secukup rasa
6) Lada hitam secukup rasa (lada hitam tumbuk sendiri lagi sedap rasanya)
7) Daun sup sesuka rasa
8) 3/4 cili padi - hiris halus
9) Minyak sedikit untuk menggoreng


Langkah demi langkah :

1) Buka tin sardin dengan bismillah dan sopan santun.

2) Keluarkan isi sardin, letak di dalam satu bekas.

3) Hancur lumatkan ikut sedap mata memandang.

4) Dalam bekas sardin tadi, pecahkan telur.

5) Pukul telur + garam + lada hitam. Gaul dengan sardin.

6) Masukkan bawang + cili + daun sup. Gaul lagi sopan santun.

7) Siap adunan sardin.


Okay, selepas ini ada 2 kaedah boleh cuba jaya. Ikut mana yang rasa senang la ya.


Kaedah 1

1) Celup roti dalam adunan sardin & kawan-kawan dan bakar dalam pan.
    (Jangan lupa letak minyak sikit dalam pan)

2) Rasa nak bagi salut lagi roti, boleh tuang sikit adunan sardin tadi atas roti.

3) Balik-balikkan roti. Bakar sampai rasa-rasa garing.

4) Ulang langkah 1, 2 ,3 sehingga habis adunan.

5) Siap dan sedia dihidang bersama air teh.


Kaedah 2

1) Letakkan sedikit minyak dalam pan.

2) Ambil senduk comel dan sendukkan sedikit adunan tadi ke dalam pan.

3) Ambil sekeping roti, letak di atas adunan tadi. Biarkan seketika jangan sampai
    terbakar.

4) Dalam masa yang sama, senduk lagi sedikit adunan sardin, tuang atas (belakang) roti.
    (Paham ke idak? Boleh faham rasanya)

5) Balik-balikkan roti agar kedua-dua belah garing dan nampak bersalut dengan adunan.

6) Ulang langkah 1, 2, 3, 4 sehingga habis adunan.

7) Siap dan sedia dihidang bersama air teh limau.


Sharing is Caring :

- Roti tak perlu nampak terlalu bersalut dengan adunan.
- Tapi ikut suka rasa la..  (",)
- Andai pandai berjimat hidangan boleh up sampai 15-20 keping roti.
- Bilangan telur boleh dikurangkan ikut suka rasa.
- Boleh improvise..
  *tambah cendawan kering (yang sudah direndam) atau cendawan butang yang dipotong
   comel atau dihiris halus.
  *etc

Sekian.. Satu lagi gambar untuk dikongsi..


Close-up Roti Sardin cap Ayam

Selamat mencuba!

Monday, January 23, 2012

Syukur


Manusia, tak pernah puas, tak pernah cukup. Mungkin sukar untuk berterima kasih, mungkin lupa untuk bersyukur. Hakikatnya, kehidupan kita sudah DIA aturkan seadilnya. Tinggal keimanan yang ada pada kita yang membawa kepada rasa bersyukur dengan langkah perjalanan kehidupan dan keimanan itu jugalah yang memandu arah 'permusafiran' kita di dunia yang sementara ini. Semoga keimanan yang tidak berkurang bahkan semakin berkembang itu dapat membawa kita menuju cinta yang hakiki menggapai damai di akhirat nanti, insya Allah.


Terhantarnya saya ke tanah Sekinchan dengan harapan memenuhi kuota guru Bahasa Inggeris yang kurang di bumi Sabak. Berat hati untuk menerima kontrak 'Guru Interim' yang baru diperkenalkan dan perginya saya hanya separuh hati. Keimanan saya teruji bila mana syukur jauh dari hati.


Saya memandang perkara ini sebagai satu bebanan. Beban buat saya kerana tiada tempat tinggal dan tiada pengangkutan. Bertambah rasa terbeban dengan kegagalan saya untuk memandu biar pun sudah punyai lesen bertahun dulu. Silap saya.


Mana hilangnya rasa syukur itu? Saya memang manusia biasa. Keimanan saya masih lagi pada tahap biasa-biasa. Rupanya. Muhasabah itu memang perlu setiap hari supaya kita lebih sedar diri dan supaya tangga keimanan kita tidak retak di sana sini.


Seminggu di Sekinchan, mengajar saya erti kehidupan tanpa sesiapa di sisi. Selama ini hidup saya bertemankan keluarga atau pun kawan-kawan. Mujur ada juga kenalan dan saudara kawan yang menjadi peneman biar pun saya masih lagi terasa sendiri. Seminggu di Sekinchan, mendidik rasa syukur yang bersembunyi dalam lipatan hati.


Saya akhirnya sedar, saya masih lagi di 'tanah tumpahnya darahku', Selangor Bersih Suci Murni dan Berkualiti 2080. Ya. Slogan itu saya sendiri yang timbulkan, tiada kaitan dengan yang masih hidup atau pun yang sudah meninggal dunia. Maaf andai mengundang rasa kurang senang atau pun terdetik rasa di hati. Bukan niat saya.


Berbalik kepada kisah syukur, saya wajib bersyukur kerana sesukar mana kondisi saya, pasti ada lagi yang berdepan dengan cabaran yang lebih sukar. Sekurang-kurangnya, saya ditempatkan dalam kawasan yang masih lagi saya faham tutur katanya. Saya ditempatkan dalam kalangan mereka yang ringan tulang biar pun ada segelintir yang hanya memandang. Itu lumrah.


Saya wajib bersyukur kerana ada hadiahnya dengan rasa syukur yang terdidik dalam jiwa kita. Segala sesuatu yang terjadi itu bukanlah sia-sia belaka. Pasti ada sesuatu yang tersembunyi untuk kita cari dan kenal pasti. Saya berdoa agar pulangnya saya hujung minggu nanti dengan rasa senang di hati. Agar saya dapat mendidik adik-adik saya di tanah Sekinchan seikhlas hati. Moga saya mampu menyelitkan sedikit tarbiyah untuk sama berkongsi dengan adik-adik itu nanti. Insya Allah.


Rasa syukur itu kian berkembang. Saya semakin merasai nikmatnya. Berulang-alik ke HKL sedikit masa dahulu memang mengajar saya untuk terus beryukur. Dan kini, kembali berkunjung ke hospital yang sama, melawat saudara yang sama,  membuatkan saya cukup rasa berterima kasih atas nikmat kesihatan yang diberikan Allah pada saya. Jika sebelum ini keluar masuk wad ortopedik, kini saya kerap pula berkunjung ke wad ginekologi.


Saya bersyukur. Hamdan Lillah. Syukran Lillah. Kesihatan itu bukan boleh dijual beli. Sama seperti keimanan. Kita yang perlu menjaga dan membajai kesihatan serta keimanan dengan baris-baris kalam-NYA. Yakinlah, setiap penyakit itu ada ubatnya kecuali mati. Yakinlah dengan kuasa-NYA, yakinlah dengan aturan-NYA. DIA Maha Mengetahui segala sesuatu itu. Syukurlah dengan apa yang dikurniakan kerana rasa syukur itu antara baja keimanan.


Percayalah, ujian itu tanda sayang dan perhatian DIA pada kita. Mahukah kita hidup bersenang lenang tanpa sebarang peringatan?

Saturday, October 29, 2011

Tarbiyah buat Kita..


Cuba.. Adik lelaki saya tak berhenti promote lagu Aidil ni sebelum dia balik Kelantan dua bulan lepas. Sekarang saya nak kongsikan sebahagian liriknya di sini..


  Ada angin yang melintang  
  Ada halang yang terbentang  
  Setiap sudut itu dirasakan susah  
  Setiap satu itu dirasakan payah  

  Ada taufan yang menderu  
  Ada petir yang meluru  
  Setiap peluang dirasakan tipis  
  Setiap hela nafas dirasakan nipis  

  Pasti ada puncanya  
  Ada hikmahnya  

  Cuba kau berdoa  
  Cuba dan cuba kau meminta  
  Cuba tuk berserah  
  Cuba dan cuba tuk percaya  

  Ada awan kegelapan  
  Ada langit berlapisan  
  Setiap ramalan terasa bagai mendung  
  Setiap musim terasa bagai tengkujuh  

  Pada baris  
  Butir doa   
  Kau memohon  
  Kau berserah  

  Hanya  
  Pada  
  DIA... DIA...  


Kehidupan.. Raihan ft Inteam. Lagu ni mengingatkan saya pada seorang sahabat sebab ada lirik yang bermakna buatnya... buat kita semua, insyAllah.


"Ujian adalah tarbiyah dari Allah. Apakah kita kan sabar ataupun sebaliknya.
Kesenangan yang datang selepas kesusahan, semuanya adalah nikmat dari Tuhan.."


... dan tak lupa, dia jugaklah yang banyak mengingatkan saya tentang ujian, tarbiyah Allah sebelum ni. Saya masih ingat lagi. Terima kasih, fiqah. Suka untuk saya kongsikan jugak liriknya dekat sini.



  Kesenangan yang datang tak akan selamanya  
  Begitulah selepas susah ada kesengangan  
  Seperti selepas malam datangnya siang  
  Oleh itu waktu senang jangan lupa daratan  

  Gunakan kesempatan untuk kebaikan  
  Sebelum segalanya terlepas dari genggaman  
    Kelak menyesal nanti tak berkesudahan  
  Apa guna sesalan hanya menekan jiwa  

  Jangan difikir derita akan berpanjangan  
  Kelak akan membawa putus asa pada Tuhan  
  Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan  
  Setelah kabus berlalu pasti cerah kembali  

  Ujian adalah tarbiyah dari Allah  
  Apakah kita kan sabar atau pun sebaliknya  
  Kesenangan yang datang selepas kesusahan  
  Semuanya adalah nikmat dari Tuhan  


Finally... I love this song. Lukisan Alam.


  Hidup tak selalunya indah  
  Langit tak selalu cerah  
  Suram malam tak berbintang  
  Itulah lukisan alam  
  Begitu aturan Tuhan  

  Jadilah rumput nan lemah lembut  
  Tak luruh dipukul ribut  
  Bagai karang di dasar lautan  
  Tak terusik dilandai badai  

  Dalam sukar... hitunglah kesyukuranmu  
  Dalam senang... awasi kealpaanmu  
  Setitis derita melanda  
  Segunung kurniaan-NYA  

  Usah mengharap kesenangan  
  Dalam perjuangan perlu pengorbanan  
  Usah dendam berpanjangan  
  Maafkan kesalahan insan  
  Begitu ajaran Tuhan  

  Dalam diam... taburkanlah baktimu  
  Dalam tenang... buangkanlah amarahmu  
  Suburkanlah sifat sabar  
  Dalam jiwamu itu  
  Suburkanlah sifat sabar  
  Di dalam jiwamu itu  



Indah lirik, indah jugak melodinya. Ilham DIA buat mereka yang menulis lirik dan menggubah lagu supaya dapat dikongsikan bersama supaya dapat diteladani bersama..


Setiap perjalanan hidup kita adalah aturan dari-NYA. Bila ada sesuatu menimpa baik sebesar zarah sekali pun, kepada-NYA kita berserah pasti ada jalan yang ditunjukkan buat kita, pasti ada kekuatan yang dipinjamkan lagi untuk kita, insyaAllah..


Sengaja saya kongsikan lirik lagu yang saya kenangkan bila sampai rasa sedih melampau sebab secara tak langsung saya sendiri akan jadi lebih positif selain sememangnya mengingatkan pada yang Hakiki dan sedarkan saya masih punya DIA yang maha mengasihani.



Percayalah, lagu antara terapi ubat jiwa. Pastikan kita tidak tersalah memilih hiburan itu. Namun perlu diingatkan, terapi terbaik yang tiada tandingan pastilah daripada kalamullah. Subhanallah maha suci Allah yang maha mencipta. Al-Quran itu sememangnya tiada tandingan. Bacalah dan ingatilah DIA, dengannya jiwa akan menjadi tenang.. InsyAllah. Tiada keraguan.


Lirik-lirik ini juga saya kongsikan istimewa buat sahabat saya yang juga saudara seIslam saya, semoga dia sentiasa tabah dan sabar dengan tarbiyah dalam kehidupan. Bukan kehidupan namanya andai semuanya lancar tanpa sebarang ujian. Ujian itu mematangkan kita, bukan?


Satu perkara yang saya sangat senang dengan dia, bila dia sentiasa fikir positif dengan apa yang ditempuhi. Allah suka hamba-NYA sentiasa berfikiran positif kan?


Akak kagum dengan fiqah.


Jauh dari mata bukan bermakna dilupa..... sebab dia antara teman maya yang dekat dengan hati saya. Saya yakin dia kuat. Kuat untuk hadapi apa jua yang dah tertulis sejak azali. DIA lebih tahu bukan? Believe me... you're stronger in your own way, fiqah. 


Senyuman lepas tangisan adalah yang paling manis kan? (",)



Andai fiqah terbaca entry ni, ingatlah ramai yang mendoakan kesejahteraan fiqah tak terkecuali akak... doa akak, akan ada pertemuan kedua untuk kita selepas ni.. InsyaAllah. Mungkin waktu itu fiqah dah bergelar 'laoshi'.. (",)


Tuesday, October 4, 2011

Air Mata : Antara Nikmat dan Pembaziran..



Siapa suka menangis, sila senyum.. Saya tersenyum lebar seketika.
Siapa dah lama tak menangis, sila sengih.. Saya tersenyum simpul sesaat.








Air mata.. Antara nikmat yang Allah beri di sebalik nikmat mata dan penglihatan. Hamdan lillah syukran lillah. Air mata nikmat kerana di dalamnya terkandung khasiat. Bak kata Harun Yahya kurang lebihnya begini,

"Tears are the perfect eye drops.."


Tetapi di sini saya tidaklah berhasrat hendak bercerita khasiat air mata dari sudut cabang sains. Secara ringkas, khasiat air mata ini antaranya mencuci mata dan membersihkan mata... (",) Ringkasnya lagi, air mata bukanlah semata cairan yang keluar dari mata saat sedih atau gembira bahkan terkandung di dalamnya zat-zat yang diciptakan Allah dengan fungsinya tersendiri.. Wallahu'alam..


Air mata : Antara Nikmat dan Pembaziran..


Bila mana air mata itu keluar dalam keadaan kita mengingati Allah dan kekuasaan-NYA, mengingati mati, mengenangkan dosa dan kejahilan lepas..... ia adalah nikmat. Satu kepuasan bila dapat menangis disebabkan kekesalan ataupun kegembiraan atas sesuatu anugerah dan nikmat yang lain.


Pembaziran berlaku saat air mata dikeluarkan bukan pada tempatnya. Maksud saya di sini, menangis saat menonton telenovela atau sinetron mahu pun filem hindustan dan juga menangis pada kekasih manusia yang belum halal digauli. Rugi bukan air mata yang tumpah disebabkan itu? Tak sayang membazirkan zat yang diberi percuma oleh Allah?


Peringatan ini tentunya sekali buat diri saya juga tak terkecuali. Manusia, kita memang sering terlupa dan terleka. Makanya saling mengingati itu perlu.


Menangis meraung akan pemergian seseorang juga adalah satu pembaziran. Bukankah membazir itu amalan syaitan? Apabila perginya seorang anak adam dijemput menghadap Ilahi, ucapan yang sebaiknya adalah innalillahi wainna ilaihi raji'un dalam ketenangan bukannya disulami raungan. Begitu juga saat kita kehilangan barang yang disayangi dan sebagainya..


Bukanlah bermakna kita tidak boleh menangis dan bersedih langsung. Tetapi berpada-padalah, kerana sesungguhnya dalam keadaan kita lemah tak berdaya dengan kehilangan, waktu itulah syaitan tak lepas mainkan peranan. Na'uzubillahi min zalik.


Sesungguhnya setiap apa yang ada pada kita semua saat ini baik dari bentuk material mahu pun jasad, konkrit mahu pun abstrak, semuanya adalah pinjaman belaka. Kita hanyalah pemegang amanah. Tetapi adakah kita cukup amanah dengan pinjaman secara percuma ni? Contohnya kesihatan kita, adakah kita menjaga tubuh dengan tidak melakukan perkara yang boleh memudaratkan?


Sekali lagi peringatan buat diri saya sendiri. Terkadang leka menaip lupa terkena batang hidung sendiri. Kita sama-sama beringat ya.. InsyaAllah.


Nikmat air mata jangan kita sia-siakan. Sesungguhnya menangis kerana takutkan Allah adalah lebih baik bukan? Ada kisahnya pada zaman sahabat dalam sebuah riwayat..


Umar al-Khattab dalam mengimamkan solat subuh sering membaca surah Al-Kahfi, Thaha dan surah-surah lain yang sama panjangnya dengan surah yang disebutkan tadi. Pada saat itulah Umar r.a. sering menangis sehingga tangisannya terdengar ke saf belakang.


Pada suatu ketika dalam solat subuh yang lain, Umar r.a. membaca surah Yusuf. Ketika sampai pada ayat ke-86, terjemahannya :


Yaakub menjawab, "Sesungguhnya hanyalah pada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku, dan aku mengetahui dari Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya."


Umar r.a. menangis teresak-esak sehingga suaranya tidak kedengaran sehingga saf di belakang. Dalam solat tahajudnya juga Umar r.a. membaca ayat-ayat al-Quran sambil menangis. Perasaan takut seseorang kepada Allah, apabila disebut nama-NYA sahaja sudah terasa ke dasar hati.


Tamat kisah pada zaman sahabat, kembali pada zaman kita.. Berapa kali kita menangis dalam solat? Cukup fahamkah kita dengan maksud ayat dalam surah yang kita bacakan? Ingatkah kita pada terjemahan surah Al-Fatihah?


Ketenangan yang kita dapat selepas mengadu pada Allah adalah ketenangan yang tiada tandingan. Lega selega-leganya seakan terasa hilang sebeban perkara yang terbelenggu sebelum ini. Nah, inilah nikmatnya air mata yang tumpah saat itu. Sesungguhnya Allah maha Mengetahui dan DIA jugalah yang menjaga hati-hati kita. Makanya pada DIA lah selayaknya kita memohon.. Wallahu'alam.


Terdapat banyak hadis Nabi berkaitan air mata ini antaranya,


Rasulullah S.A.W. bersabda : "Wajah yang dibasahi air mata kerana takut pada Allah walaupun sedikit akan diselamatkan dari api neraka,"


Selain itu, ada riwayat menyebut, isteri Nabi S.A.W., Aisyah r.a. bertanya kepada baginda,


"Ya Rasulullah, adakah antara pengikut-pengikutmu yang akan masuk syurga tanpa hisab?


Baginda menjawab, "Iya. Dia adalah orang yang banyak menangis kerana menyesali dosa-dosa yang telah dia lakukan,"


Terakhir yang ingin saya kongsikan di sini, baginda Nabi S.A.W bersabda :


"Ada dua jenis titisan yang sangat disukai oleh Allah S.W.T, iaitu, titisan air mata kerana takut pada-NYA dan titisan darah kerana perjuangan di jalan-NYA."


Bukankah setiap anggota kita menjadi saksi di hari soal-jawab kelak? Air mata juga antara anggota kita.. Siapa tahu air mata bakal menjadi penyelamat?


Wallahu'alam.




Bagaimana dengan kita? Selama hidup di muka bumi ini, air mata kita tumpah untuk nikmat atau pembaziran?


Sentuh dada, usap hati, reflect iman.


Saling mengingati itu perlu.
Saling menyampaikan itu juga perlu.
Saling berkongsi itu pun perlu.


Wallahu'alam..

Friday, September 30, 2011

Mana Larinya Adab itu?



Sahabat saya majid a.k.a siti suhaili telah menulis ini berkaitan adab. Pagi jumaat yang mulia ini, saya mahu berkongsi pula perihal adab bertandang ke rumah orang. Sudah lama saya memikirkan perkara ini dan pagi tadi adalah kemuncaknya.


"That's it. Enough is enough. You people please la revise your knowledge and renew your sense of responsibility."


Ini yang saya rasa pagi tadi, tapi tak terluah kerana masih ada rasa hormat dekat orang yang lebih tua. Alkisahnya...


Rumah keluarga saya letaknya antara barisan di hadapan surau. Rumah teres dua tingkat, berpintu kayu di sebelah kanan dan bertingkap tiga pintu sederhana lebar dan panjang di bahagian kiri. Tingkap rumah kami bukanlah tinted segelap-gelapnya sehingga boleh terpantul imej sendiri umpama cermin. **Sila fahamkan kenyataan itu..


Abah pula antara ajk dekat surau. Alang-alang rumah di hadapan surau maka bersusun jugak aktiviti abah menguruskan hal-hal berkaitan surau. Makanya keraplah orang-orang datang ke rumah untuk berurusan dengan abah.


Mereka yang datang penuh beradab sopan amatlah dihargai dan kedatangannya akan datang amatlah dinanti. Bukankah kedatangan tetamu itu membawa rahmat? Tapi, masalah besar timbul bila ada yang main terjah rumah orang lain ikut suka hati umpama masuk rumah sendiri cukup dengan hanya salam sekali.


Tahu tak kalian,



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ 
حَتَّى تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَى أَهْلِهَا
ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

[an-nur : 27]


Terjemahannya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu ingat.


Imam Ibnu Katsir telah mentafsirkan ayat ini antara isinya,

"Janganlah mereka masuk ke rumah-rumah yang bukan milik mereka hingga mereka meminta izin dan mengucapkan salam kepada pemilik rumah tersebut. Dan hendaknya seseorang meminta izin sebanyak tiga kali. Kalau diizinkan hendakla ia masuk, dan jika tidak hendaklah ia pulang dan meninggalkan rumah tersebut."


Tiga kali tau kena bagi salam. Diulangi, tiga kali dan itulah yang maksimum. Tak boleh lebih. Ada hadis shahih berkaitan hal ni. Kisahnya;


Abu Musa Al-Asy'ari r.a. meminta izin untuk masuk ke rumah Umar Al-Khattab r.a. sebanyak tiga kali, namun tiada jawapan daripada pemilik rumah, maka Abu Musa Al-Asy'ari pulang meninggalkan rumah tersebut..


Nampak? Betapa para sahabat begitu menjaga adab itu.


Dan kita sekarang? Macam mana halnya? Dah buka pintu pagar masuk ketuk pintu baru bagi salam? Salam diberi sambil mata menjeling melalui tingkap rumah? Mana larinya adab kita seorang muslim?


Mak kata, makin tinggi ilmu makin terlupa adab.. Ada benarnya saya terpaksa akui di sini berdasarkan kejadian yang berlaku minggu lalu di sini di rumah keluarga ini. Mungkin perumpamaan kerana nila setitik habis susu sebelanga ada benarnya. Namun, pepatah itu tidaklah seharusnya diguna pakai secara sambil lewa.


Tapi jelasnya saya nak tegaskan di sini, marilah kita sentiasa memperbaharui iman kita. Maksudnya di sini, sentiasa mengingati pelajaran-pelajaran yang lalu termasuklah ilmu berkaitan akhlak. Walaupun ia terkadang dianggap remeh, namun, besar natijahnya.


Percayalah.


Sebagai contoh, bagaimana sekiranya terlihat akan tetamu itu pada sesuatu yang tidak sepatutnya dia melihat? Ada kisahnya berdasarkan riwayat Imam At-Thabari, sebab turunnya ayat ke-27 surah An-Nur beserta sambungannya sehingga ayat ke-29. Begini...


Seorang wanita pernah mengadu kepada Rasulullah S.A.W. Katanya,


"Wahai Rasulullah, aku berada di dalam rumahku dengan memakai pakaian (keadaan) yang aku tidak suka seorang pun dari kalangan keluargaku melihatnya, baik bapaku mahu pun anakku. Dan ada seorang dari anggota keluargaku yang suka menonong masuk ke rumahku sedang aku dalam keadaan berpakaian seadanya (tidak menutup aurat)."


Dan kemudian turunlah ayat 27-29 dari surah An-Nur sebagai jawapan kepada masalah wanita itu..


Ini sambungan ayat ke 28-29 surah An-Nur saya kongsikan juga,



فَإِن لَّمْ تَجِدُوا فِيهَا أَحَدًا فَلَا تَدْخُلُوهَا حَتَّى يُؤْذَنَ لَكُمْ 

وَإِن قِيلَ لَكُمُ ارْجِعُوا فَارْجِعُوا هُوَ أَزْكَى لَكُمْ 
وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ
[an-nur : 28]


Terjemahannya : Jika kamu tidak mendapati seorang pun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu, "Kembalilah," maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.


لَّيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ مَسْكُونَةٍ فِيهَا مَتَاعٌ لَّكُمْ 
وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا تَكْتُمُونَ
[an-nur : 29]

Terjemahannya : Tidak ada dosa atasmu memasuki rumah yang tidak disediakan untuk didiami, yang di dalamnya ada keperluanmu, dan Allah mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.




Nampakkan? Bukan hanya kepada orang luar malah kepada ahli keluarga sendiri pentingnya beradab itu. Kami wanita di rumah ini tidaklah memakai skirt pendek mahu pun baby-t di rumah tetapi masih berpakaian yang hanya sesuai di dalam rumah dan untuk tontonan lelaki yang muhrim seperti abah dan adik beradik lelaki yang dua orang itu SAHAJA. Muhrim yang lain tidaklah selesa untuk kami memperlihatkan apa-apa biarpun batasan aurat dah ditetapkan.. **Sila fahamkan juga makna kenyataan ini.


Islam itu indah. Janganlah kita mencacatkan keindahan yang diciptakan Allah dengan kerenah kita sendiri. Adab ni luas skopnya. Cuba ingat balik dari tadika dulu belajar apa... Adab makan, adab minum, adab dengan haiwan, adab dengan makanan dan paling penting juga adab sesama manusia. Contohnya adab bertandang ke rumah orang;


1) Beri salam..


Kalau pendek, "Assalamualaikum.."
Panjang sikit, "Assalamualaikum warahmatullah,"
Panjang lagi sikit, "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,"


2) Minta izin..


Adik.. Abang.. Kakak.. Makcik.. Pakcik.. Tok.. Wan.. Haji.. Hajah.. Cikgu..
Saya, polan bin polan atau polanah binti polan, nak masuk boleh...


3) Salam diberi tiga kali dan minta izin. Diulangi, tiga kali.


Ulang balik step 1 & 2.


4) Bila isi rumah membalas,


Pulanglah kamu.. Suami saya tiada di rumah atau tiada orang lelaki di dalam rumah ini..


Maka, dipersilakan pulang ke pangkal jalan. Jangan memaksa dengan bertanya segala bagai persoalan yang mungkin menganggu isi rumah itu.


5) Mungkin boleh menggunakan teknologi yang canggih zaman sekarang.


Telefon dulu sebelum nak datang. Nak lagi canggih boleh buat appointment siap-siap.


Teringat masa praktikal... Ada kawan lelaki yang datang hendak menguruskan sesuatu dengan rakan serumah, mereka tidak terus berdiri di hadapan pintu tetapi berdirinya di sebelah kanan pintu dan memberi salam. Kemudiannya berurusan hanya di luar rumah, tidaklah menonong masuk setelah salam dijawab.


Jujur, waktu itu timbul rasa hormat kepada mereka yang tahu menjaga adab dan akhlak, tidak mengarahkan pandangan pada sesuatu yang tidak halal bagi mereka. Ada kisah riwayat Ahmad dan Abu Daud berkaitan ini juga...


Dari Abdullah Bin Busr, beliau berkata, "Apabila Rasulullah S.A.W. mendatangi kediaman sesuatu kaum, baginda tidak menghadap ke arah pintu dengan wajahnya, akan tetapi baginda memalingkan wajah ke arah kanan atau kiri dan berkata, Assalamualaikum,"


Disebutkan juga, kerana pada waktu itu kediaman bukanlah ada penghalang berpintu seperti kediaman masa kini. Namun perlu diingatkan, kediaman bertingkap bukan bermakna kamu boleh mengintai di sebalik tingkap itu.


Sungguh tidak beradab sopan begitu.


Saya menulis dari sudut pandang saya sebagai antara isi rumah yang kerap kali terganggu. Mungkin kerana kini saya berada di rumah 24/7, makanya terpaksalah saya berhadapan dengan permasalahan ini. Apatah lagi tempat favourite saya memang di ruang tamu. 


Perlu diingatkan di sini... Ruang tamu bukan bererti tetamu boleh mengintai di situ ya.


Tetamu sekalian, marilah kita renew adab sopan dan ingat-ingat balik akhlak yang dah kita belajar sejak dari tadika dulu.. Peringatan ini buat diri saya sendiri mungkin ada kalanya terleka kerana terlalu teruja nak berziarah.


** Wallahu'alam.. Risau andai ada yang salah faham kenyataan-kenyataan saya.


Saya mula menulis pada pukul 9 ++ a.m. dan hanya sesudah zuhur baru dapat saya publish disebabkan masalah teknikal.. Mujur lepas.. (",)



Sunday, September 25, 2011

Sempurna?


Apakah definisi sempurna? Bagaimana pula dengan lanjutannya, kesempurnaan? Apakah makna disebalik kata akar sempurna?


Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, sempurna membawa kepada lima pengertian;

1) tidak ada cacat cela.
2) lengkap, tidak ada kekurangan.
3) baik lagi teratur.
4) sudah selesai dengan selamat atau sebaik-baiknya.
5) baik sekali, sesuai.


Jelas, sempurna itu tidak lain tidak bukan, kembali kepada-NYA yang Maha Mencipta dan kepada-NYA segala kesempurnaan itu.


Tiada manusia yang diciptakan sempurna serba serbi kerana sempurna dan kesempurnaan itu adalah milik DIA yang Maha Berkuasa. Namun ada caranya untuk menghampiri sempurna itu dan bersahabat dengan kesempurnaan.

Bagaimana?

Dengan berubah ke arah kebaikan..


Tiada manusia yang tidak pernah buat salah dan silap, tiada manusia yang tidak pernah lalai dan leka. Fitrahnya, syaitan telah berikrar hendak menyesatkan anak Adam dan mereka telah beroleh green light untuk tujuan penuh muslihat itu.

Mengapa?

Supaya manusia tidak terus hidup dalam kesenangan yang disangkakan sempurna sedangkan itu adalah kelekaan, tetapi seharusnya terus berusaha untuk menjadi lebih baik dan berusaha untuk menghampiri kesempurnaan. Di sinilah nikmat akal yang dikurniakan Allah kepada manusia perlu diterokai dengan sebaik mungkin. Tidaklah diciptakan segala sesuatu oleh Allah S.W.T untuk tujuan yang sia-sia, bukan?


Asalnya, topik hari ini terilham setelah saya menyelak helaian demi helaian surat khabar harian sehingga terlihat akan sepasang mata tanpa kaca mata ini pada sebaris ayat, ".....dia terasa kehidupan masa lalunya yang tidak sempurna,". Sambil geleng kepala dan menarik nafas sebelum nafas dihela perlahan bersama putaran di kepala, saya terdiam seketika.


Pendapat saya,

1) tidak perlu rasanya ayat tersebut diungkapkan kerana ada hati yang perlu dijaga.

2) kehidupan masa lalu yang dirasakan kurang enak pasti ada terselit kemanisannya biarpun sekelumit.

3) masa lalu yang dirasakan kurang enak itu jika terlalu difikirkan boleh membantutkan kehidupan masa hadapan.

4) bagaimana tak sempurnanya kehidupan masa lalu seperti yang dirasakan itu, percayalah, puncanya mungkin dari ketidaksempurnaan diri sendiri dan makanya tidak perlu diungkapkan lagi kenyataan sebegitu...

5) sempurna itu hanya milik DIA yang Maha Agung. Siapalah kita untuk memiliki sifat-NYA itu? Namun DIA yang Maha Adil telah mewujudkan solusi bagi masalah kesempurnaan manusia ini dengan menciptakan setiap daripada kita ini berpasang-pasangan. Saling melengkapi antara suami dan isteri mampu merapatkan jurang ketidaksempurnaan itu.


Saya cuba melihat pernyataan dalam akhbar itu dari sudut yang lebih positif tetapi saya gagal. Mungkin kerana jiwa sudah tepu dengan perihal negatif dari sudut warta yang disampaikan, maka minda gagal melunaskan tanggungjawab untuk lebih adil. 


Pesanan saya,

1) Usah dibangkitkan perihal kesempurnaan bila diri jelas akan kepincangan.

2) Tak perlu diperbesar tentang kesempurnaan andai sendiri kabur dengan zat-NYA.

3) Sempurna dan kesempurnaan umpama manusia dan pakaian. Andai pakaian masih belum mampu melindungi aurat, jangan dipersoal tentang kesempurnaan.

4) Manusia itu ciptaan Allah yang paling sempurna kerana dianugerahkan-NYA akal supaya kita berfikir. Namun nikmat akal kurniaan Allah itu bukanlah petanda manusia itu sempurna. Sempurnakah manusia bila mendustakan nikmat yang diberikan?

5) Milik Allah zat kesempurnaan itu dan sesungguhnya DIA Maha Sempurna.


Wallahu'alam.

Friday, September 9, 2011

Sila Sedar Diri Sendiri






Saya sudah dimakan usia.

Saya bukan lanjut usia.

Saya mohon panjang usia.

Saya harap berkat dalam usia.

Doa usia tak sia-sia.







Selamat hari lahir yang ke-25 buat saya mengikut kalendar gregorian tetapi yang ke-26 berdasarkan kalendar hijrah. Saya telah bersembunyi di dalam perut mak selama sembilan bulan sebelum saya dikeluarkan dari tempat persembunyian yang sangat mendamaikan dan bebas dari sebarang ancaman duniawi.


Saya sangat suci ketika dalam persembunyian. Kini, hanya DIA yang Maha Mengetahui. Betapa saya ternoda hati kerana mudahnya terpengaruh dengan anasir-anasir yang tidak enak. Saya rindukan tempat persembunyian itu biar pun saya tiada memori tentangnya.


Saya mahu bersembunyi kembali...........


Namun, syukur alhamdulillah saya diberi peluang mengetahui kebesaran-NYA, mengakui keesaan-NYA, mendalami nikmat kurniaan-NYA. Saya bersyukur. Hamdan lillah, syukran lillah. Terima kasih tak terhingga buat mak & abah yang banyak bersabar selama puluhan tahun ini.


Saya masih berharap dapat kembali bersembunyi dengan tenang dan dalam rahmat-NYA.